Friday, February 17, 2012

Rokok, Kematangan, dan Peer Pressure


Pusing kanan perokok, pusing kiri perokok. Kita dikelilingi perokok. Mungkin anda pun perokok. Kita semua perokok sebenarnya. Bezanya antara primary atau secondary. Selamat datang ke dunia perokok!

Sedangkan ramai perokok tegar dan berpengalaman di luar sana ingin menghentikan tabiat ini, makin ramai pula golongan muda remaja yang mahu menjinakkan diri. Pelik? Memang.

Zaman Separa Berdikari.

Zaman ini aku kaitkan dengan sekolah. Aku namakan separa berdikari kerana kita masih bergantung harap pada orang lain dalam melakukan sesuatu. Contohnya, pelajar sekolah dapat duit dari ibu bapa manakala yang duduk asrama pula, makanan disediakan dewan selera. Tanggungjawab utama sekarang hanyalah belajar. 

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita untuk melihat para pelajar sekolah membakar tembakau ke sana ke mari. Di dalam bas, di kedai mamak, di atas basikal mahupun di jamban sekolah. Sehairan manapun kita atau sejengkel manapun mereka, kita harus layankan sahaja mata ini.

Apakah yang telah mempengaruhi mereka? Tak lain tak bukan majoritinya dipengaruhi rakan-rakan sendiri. Peer pressure. Disebabkan zaman persekolahan adalah antara masa yang paling kritikal dalam pembikinan manusia matang dan berfikiran jauh, tidak hairan kanak-kanak berani mencuba rokok. Mereka tidak hiraukan faktor kewangan dan kesihatan asalkan faktor penampilan mampu 'dinaikkan'. Aku masih tak faham entah di mana keterampilan dalam merokok.

Zaman Berdikari.

Zaman ini elok dikaitkan dengan zaman pascapersekolahan. Kebanyakan masa tidak akan diluangkan di rumah dan kebergantungan terhadap pihak lain amatlah sedikit. Mungkin dari segi kewangan (bagi yang belajar) masih perlu dibantu tapi dalam hal lain banyak bergantung pada diri sendiri.

Waktu ini, peliknya, makin ramai lagi yang mula menceburi arena makan asap ini. Faktor percubaan bagi majoriti seperti biasa; peer pressure. Sehingga kini aku masih bertanya pada diri sendiri; masih relevankah terma peer pressure pada zaman pascapersekolahan? 

Bukannya apa, cuba kita bayangkan semua ilmu yang kita pelajari di zaman sekolah, baik di dalam mahupun di luar kelas. Sudahkah kita cerna? Apa yang kita tahu pasal merokok? Apa kebaikannya? Apa keburukannya? Jadi, kenapa masih ada yang masih mahu mencuba rokok walaupun sudah memasuki zaman pascapersekolahan?

Atatupun hal ini ada berkait rapat dengan isu kematangan dan pemikiran? Tidakkah first time smoker zaman ini tidak berfikiran jauh tidak consider all factors? Adakah penampilan 'hebat' yang mereka inginkan ataupun mereka ada rahsia mereka sendiri? Hmm.

Aku tinggalkan dengan beribu soalan.

xxx

Dalam kupasan ini aku cuma kaitkan peer pressure dan kematangan serta cara pemikiran. Dua faktor yang saling berlumba. Jika peer pressure kalahkan cara pemikiran, habislah kita.

Semua sudah sedar faedah dan keburukan merokok. Semua perokok tegar pula sudah tidak sabar untuk berhenti. Tapi masih ramai yang masih mahu mencuba. Anda?

Orang kata, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.

Saturday, January 28, 2012

Sayuti Juara Rakyat #2


Tiba-tiba suasana kelas menjadi sunyi. Semua yang bersembang terus bisu. Bulatan perbincangan dileraikan. Air liur yang terpercik dikeringkan. Tangan yang mencucuk langit diturunkan. Mata yang terbeliak disepetkan. Semua dalam keadaan sedia kecuali..


"Weh Rosman! Bangun! Bangun!" jerit Saufi pada telinga Rosman yang sedang asyik dibuai mimpi.


Hari pertama persekolahan sudah begini, boleh agak macam mana perginya untuk satu penggal ini. Rosman terus segar apabila terlihat kelibat susuk tegap di pintu masuk kelas. Semua diam. Sunyi.


PUP! PAP! PUP! PAP!

Kelihatan sepasang kasut getah berwarna putih kekuningan mencecah lantai kelas secara bergilir-gilir. Susuk tubuh pemakainya kurus-kurus ikan kering. Sedap kalau disuap mulut bersama sambal belacan. Di tangan kanannya ada penyapu manakala tangan kirinya ada penyodok. Mulut pula digunakan untuk menggigit pemadam papan hitam. Ya, dialah Sayuti. Basah lencun bagai baru terjun lombong terbiar. 
SKREEEET! POM! PRET! KOM! TOM!

Sayuti tergelincir sejauh 3.5 meter. Satu kelas ketawa terbahak-bahak. Alwi yang jongang gelak bagai nak tercabut lidah. Rostam pula gelak sampai menangis. Padah guna kasut getah sewaktu hari hujan. Tapi itulah saja kasut yang ada di rumah, kepunyaan pak ciknya yang digunakan sewaktu menoreh. Entah kenapa pak ciknya mempunyai kaki saiz sama dengan budak kecil. Ataupun Sayuti main rembat saja. Dari belakang kelas Cikgu Hafizal hanya senyum sinis. Di hadapannya Malik yang juga gelak sambil tepuk tangan, gembira.

Hari pertama persekolahan sudah begini, boleh agak macam mana perginya untuk satu penggal ini.

xxx

"Mana kamu pergi ha, Coyote?!" jerit cikgu tatkala satu kelas terus sunyi.

"Nama dia Sayu.."

"DIAM!" Cikgu Hafizal terus memotong teguran Rosminah. Malu agaknya. Ataupun ego.
"Saya ambil barang ni dari pejabat, cikgu," jawab Sayuti sambal menunjukkan barang yang dipegang (entah bila pemadam papan hitam tadi telah diletakkan di atas meja guru).

"Ha, menjawab! Mak tak ajar ke?!" marah Cikgu Hafizal lagi.
Sayuti terus berdiam. Dia tahu tak ada gunanya dia berkata apa-apa.

xxx

Cikgu Hafizal terus berleter.

"Okay siapa nak jawab ni?! Kenapa kelas kotor?! Mana penyapu?! Ha! Ish buat sakit hati aku je!" leter cikgu.
"Yang aku pegang ni apa bahlul?" cakap Sayuti dalam hati.

"Apa kamu cakap?" tanya cikgu kembali sambil mencekak pinggang.

Lutut Sayuti terus bergoyang.

"Celaka, terlepas cakap pula!" jerit hatinya. Kali ini betul-betul dalam hati.

Sunday, January 22, 2012

Sayuti Juara Rakyat



Isnin, 7.30 pagi.

Kelas bising pagi ini. Riuh-rendahnya lain macam. Tak wujud lagi istilah 'malaikat lalu' buat pagi ini. Mana taknya, perhimpunan pagi dibatalkan kerana hujan. Tambahan pula hari ini ialah hari pertama persekolahan untuk penggal ini. Jadi pelbagai ceritera dibuka dan ingin dipersembahkan para pelajar kepada rakan-rakan mereka.

Di suatu sudut kelihatan Rahmat kalut bercerita di samping Given dan Soleh. Air liur terpercik ke muka Soleh walau bagaimanapun Soleh begitu terpegun dengan cerita sehingga leka dan tidak ambil peduli. Di barisan hadapan pula kelihatan beberapa orang pelajar perempuan berceloteh sakan. Halimah yang terkenal sebagai kaki gosip mengetuai sesi mengumpat sambil tangan mencucuk-cucuk langit. Gadis-gadis lain semua terbeliak mata sambil angguk-angguk setuju. Di belakang kelas pula duduknya Malik dan konco-konconya yang sedang sembang perlahan-lahan dalam bulatan kecil. Sekali pandang seakan-akan perbincangan pasukan bola sepak. Tambahan pula Malik sedang duduk bercangkung ditengah-tengah bulat. Makin menjadi-jadi.


xxx


Tiba-tiba suasana kelas menjadi sunyi. Semua yang bersembang terus bisu. Bulatan perbincangan dileraikan. Air liur yang terpercik dikeringkan. Tangan yang mencucuk langit diturunkan. Mata yang terbeliak disepetkan. Semua dalam keadaan sedia kecuali..


"Weh Rosman! Bangun! Bangun!" jerit Saufi pada telinga Rosman yang sedang asyik dibuai mimpi.


Hari pertama persekolahan sudah begini, boleh agak macam mana perginya untuk satu penggal ini. Rosman terus segar apabila terlihat kelibat susuk tegap di pintu masuk kelas. Semua diam. Sunyi.


PUP! PAP! PUP! PAP!


Cikgu Hafizal melangkah masuk ke kelas dengan bergaya walaupun bajunya sedikit basah terkena hujan. Di tangan kanannya ada rotan manakala tangan kirinya ada botol air warna merah jambu jenama Inike. Dia berjalan ke hadapan kelas dan terus membuat isyarat supaya para pelajar tak perlu berdiri dan hanya perlu kekal duduk.


Para pelajar angguk dan faham. Malik, anak saudara Cikgu Hafizal, berasa kecewa kerana dia baru merancang untuk mengetuai kelas menyanyikan "Selamat pagi, cikgu." Cikgu Hafizal memeriksa keliling kelas sambil mengira jumlah pelajar. Mulutnya terkumat-kamit umpama membaca jampi serapah.


"Kenapa kelas kamu kotor sangat?!" jerit cikgu.


Kelas sunyi. Takut. Mereka berasa serba tak kena kerana ini merupakan hari pertama persekolahan jadi bukanlah salah mereka. Mungkin salah sekolah kerana upah kontraktor murah. Namun, semua masih diam. Akur.


"Hafiz! Siapa duduk sebelah kamu?! Hantu?!" tanya Cikgu Hafizal.


Lutut Hafiz terus bergetar. Mungkin kerana gementar pada nada garang cikgu ataupun kerana risau sekiranya memang hantu yang sedang mengisi tempat kosong itu. Seluruh kelas tiba-tiba jadi kucar-kacir. Semua orang mula tertanya-tanya. Tangan mula mencucuk-cucuk langit. Air liur mula memercik. Rosman terus sambung tidur.