Tuesday, August 30, 2011

Hari Raya Aidilfitri

Fasting and Dates: A Ramadan and Eid-ul-Fitr Story (Festival Time!) 

Sekali lagi tahun ini 1 Syawal muncul kembali. Tanpa diduga satu bulan berpuasa telah tamat begitu sahaja. Kadang-kadang aku rasa sebak. Cukup elokkah amal aku pada Ramadhan kali ini? Adakah amal aku akan diterima? Adakah aku akan bertemu lagi Ramadhan? Persoalan ini semua membuatkan aku berfikir sejenak. Termenung jauh dengan penyesalan dan penantian untuk Ramadhan akan datang.

Walau bagaimanapun, aku tetap bersyukur kerana amal wajib telah dapat disempurnakan dan moga-moga diterima. Kegembiraan muncul juga bersama kepuasan beribadat. Sedikit sebanyak mampu menutup kesedihan peninggalan Ramadhan. Kali ini aku optimis untuk menjadi seorang yang lebih baik. Hasil pendidikan unggul selama sebulan.

Dalam masyarakat kita pula, Aidilfitri ini sudah sinonim dengan kesedihan. Malah, Aidilfitri ini boleh dijadikan simbol kesedihan. Tiba sahaja Syawal, televisyen akan mula menayangkan iklan-iklan yang dipenuhi kesedihan dan drama-drama klise yang pasti melibatkan titisan air mata. Maka aku tertanya sekali lagi. Apa yang perlu ditangisi? Ketibaan Syawal? Drama sedih? Iklan touching? Atau pemergian Ramadhan? Masyarakat kita sekarang dalam dilema. Dilema kesedihan. 

Berpatutan dengan nama 'perayaan', Aidilfitri sepatutnya disambut dengan meriah dan bersederhana. Bukannya dengan tangisan akibat drama-drama mahupun takbir yang mendayu-dayu. Kemeriahan Aidilfitri ini melambangkan kejayaan kita menempuhi Ramadhan dan ini bagaikan simbol graduasi kita dari institusi pendidikan tersebut. Maka ketibaan Syawal tidak akan dipanggil sebagai 'persedihan'.

Ya, tidak salah untuk bersedih. Namun, pastikan dahulu, mengapa untuk bersedih?

Ya, tidak salah untuk berseronok. Namun, pastikan dahulu, adakah kita telah menempuh Ramadhan dengan baik?

Bersederhanalah dan teruskan amal pada masa akan datang. Ramadhan tahun hadapan pasti membawa semangat dan azam yang baharu. Tahniah semua kerana telah bergraduasi.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Maaf zahir dan batin.

2 comments:

Anonymous said...

waktu raya people always teringtkan mereka yg telah pergi buat selamanya.tu sbb diorg nangis.....

mim said...

Kenapa stigma masyarakat hanya mahu mengingati orang yang telah pergi lebih signifikan pada hari raya sahaja? Macam mana dengan hari lain? Tak cukup penting? Bukankah doa kepada yang telah pergi sepatutnya dilakukan selagi boleh dan bukan hanya hari raya?

Cuba kita lihat pula media. Semua memainkan mesej yang negatif. Hanya yang berani yang akan buat iklan yang mampu buat kita gelak. Mengapa?

Bukankah ini perayaan dan bukan persedihan?