Friday, September 16, 2011

Seluar Pendek, Gimnasium, dan Hari Malaysia


Hujan turun dengan lebat. Selebat air pancut di dalam bilik air. Bezanya hujan ini meliputi kawasan yang lebih besar berbanding air pancut dalam tandas yang hanya menutupi kawasan sebesar 30 sentimeter. Niat untuk beriadah terbantut tatkala hujan masih belum surut dan diri ini pula baru sedar dari alam mimpi. Mungkin ada eloknya kalau aku jengah ke gimnasium. Apa salahnya, boleh juga beradu tenaga di situ. Tak hujan dan tak basah.

Aku sarungkan celana tiga suku warna biru gelap yang dibeli ibu tahun lepas. Pemberian orang memang akan aku jaga, memang akan aku kasih. Kasih tidak semestinya letak di dalam gelas kaca. Bergantung kepada fungsi, lebih kasih maka akan lebih berfungsi sesuatu benda itu. Seluar pendek menutupi sebahagian besar bahagian bawah badan aku sehingga pertengahan antara lutut dan buku lali. Ya, tiga suku memang panjang. Kadang-kadang aku solat dengannya juga.

Langkah ke gimnasium yang terletak di blok lain amat pantas. Sepantas angin atau mungkin sepantas kilat. Aku tidak pasti. Kaki yang tidak ditutup dengan celana biru kebasahan dek dipercik oleh air hujan yang bertakung yang tepat mengena hentakan kaki. Jantung hampir luruh, mata kian sepet, baju makin basah. Syujur, tiba jua.

Gimnasium yang terletak di tingkat dua memerlukan aku meleburkan lebih tenaga untuk mendaki tangga yang tidak setinggi mana. Memang betul mencabar apatah lagi dengan selipar yang sudah basah dan licin. Malang tidak berbau, kemungkinan besar aku boleh tergolek dengan gaya bebas. Tiba sahaja di tingkat atas, kelihatan suatu lembaga muncul. Lembaga yang memisahkan aku dan gimnasium.

xxx

"Ni kenapa pakai seluar pendek ni?" kata jaga yang berbaju biru gelap, uniform yang terkenal bagi penuntut kolej dan universiti di Shah Alam.

"Sebab saya nak ke gym...???" jawab aku dengan nada yang pelik sambil jari menunjukkan tangan ke arah gimnasium yang terletak hanya 10 meter di hadapan aku dan 9 meter di belakang jaga.

"Tak boleh pakai macam ni," jawab jaga, tegas.

"Tapi ini dah cukup panjang kan?" tanya aku.

"Tak boleh. Tak boleh. Bila dah masuk gimnasium baru boleh buka pakai macam ini." kata jaga yang buat aku runsing, meluat, dan sakit hati.

"Alright," jawabku sambil terus melangkah ke arah gimnasium. Aku tak sanggup redah hujan dua kali sambil membasahkan lagi baju aku. Ada juga kemungkinan untuk demam. Seluar aku pasti lagi basah. Dua pasang semuanya sekiranya aku pilih untuk patah balik. Jadi lebih baik aku teruskan sahaja.

xxx

Persoalan. Persoalan. Persoalan.

1. Apakah perbezaan sekiranya aku gimnasium berseluar pendek tiga suku dan memakai seluar panjang?

2. Apakah perbezaan sekiranya aku meredah hujan dengan berseluar pendek tiga suku dan memakai seluar panjang?

3. Apakah beza antara jaga yang selalu memeriksa kad dan pakaian pelajar dan jaga yang menjaga keselamatan kolej dan universiti?

Soalan 1 dan 2 aku bukakan untuk umum.

Soalan 3, jaga yang memeriksa kad dan pakaian pelajar berbaju biru gelap, uniform yang terkenal bagi penuntut kolej dan universiti di Shah Alam. 

Jaga yang menjaga keselamatan? Tak wujud di sini.

Selamat Hari Malaysia.

0 comments: