Sunday, January 22, 2012

Sayuti Juara Rakyat



Isnin, 7.30 pagi.

Kelas bising pagi ini. Riuh-rendahnya lain macam. Tak wujud lagi istilah 'malaikat lalu' buat pagi ini. Mana taknya, perhimpunan pagi dibatalkan kerana hujan. Tambahan pula hari ini ialah hari pertama persekolahan untuk penggal ini. Jadi pelbagai ceritera dibuka dan ingin dipersembahkan para pelajar kepada rakan-rakan mereka.

Di suatu sudut kelihatan Rahmat kalut bercerita di samping Given dan Soleh. Air liur terpercik ke muka Soleh walau bagaimanapun Soleh begitu terpegun dengan cerita sehingga leka dan tidak ambil peduli. Di barisan hadapan pula kelihatan beberapa orang pelajar perempuan berceloteh sakan. Halimah yang terkenal sebagai kaki gosip mengetuai sesi mengumpat sambil tangan mencucuk-cucuk langit. Gadis-gadis lain semua terbeliak mata sambil angguk-angguk setuju. Di belakang kelas pula duduknya Malik dan konco-konconya yang sedang sembang perlahan-lahan dalam bulatan kecil. Sekali pandang seakan-akan perbincangan pasukan bola sepak. Tambahan pula Malik sedang duduk bercangkung ditengah-tengah bulat. Makin menjadi-jadi.


xxx


Tiba-tiba suasana kelas menjadi sunyi. Semua yang bersembang terus bisu. Bulatan perbincangan dileraikan. Air liur yang terpercik dikeringkan. Tangan yang mencucuk langit diturunkan. Mata yang terbeliak disepetkan. Semua dalam keadaan sedia kecuali..


"Weh Rosman! Bangun! Bangun!" jerit Saufi pada telinga Rosman yang sedang asyik dibuai mimpi.


Hari pertama persekolahan sudah begini, boleh agak macam mana perginya untuk satu penggal ini. Rosman terus segar apabila terlihat kelibat susuk tegap di pintu masuk kelas. Semua diam. Sunyi.


PUP! PAP! PUP! PAP!


Cikgu Hafizal melangkah masuk ke kelas dengan bergaya walaupun bajunya sedikit basah terkena hujan. Di tangan kanannya ada rotan manakala tangan kirinya ada botol air warna merah jambu jenama Inike. Dia berjalan ke hadapan kelas dan terus membuat isyarat supaya para pelajar tak perlu berdiri dan hanya perlu kekal duduk.


Para pelajar angguk dan faham. Malik, anak saudara Cikgu Hafizal, berasa kecewa kerana dia baru merancang untuk mengetuai kelas menyanyikan "Selamat pagi, cikgu." Cikgu Hafizal memeriksa keliling kelas sambil mengira jumlah pelajar. Mulutnya terkumat-kamit umpama membaca jampi serapah.


"Kenapa kelas kamu kotor sangat?!" jerit cikgu.


Kelas sunyi. Takut. Mereka berasa serba tak kena kerana ini merupakan hari pertama persekolahan jadi bukanlah salah mereka. Mungkin salah sekolah kerana upah kontraktor murah. Namun, semua masih diam. Akur.


"Hafiz! Siapa duduk sebelah kamu?! Hantu?!" tanya Cikgu Hafizal.


Lutut Hafiz terus bergetar. Mungkin kerana gementar pada nada garang cikgu ataupun kerana risau sekiranya memang hantu yang sedang mengisi tempat kosong itu. Seluruh kelas tiba-tiba jadi kucar-kacir. Semua orang mula tertanya-tanya. Tangan mula mencucuk-cucuk langit. Air liur mula memercik. Rosman terus sambung tidur.

0 comments: